Saturday, 17 October 2015

094 Dah Pilih Tinted

Assalammualaikum.


Selalunya aku yang buat keputusan tentang rumah. Tiba-tiba timbul kesedaran rasa macam Big Boss yang gila kuasa harharhar. Untuk tinted, aku sudikanlah diri sendiri untuk ikut pilihan suami. Asalkan boleh diterima.


Suami cakap, ikut jiran sebelah. Cantik.
Ok, dinda ikut jer kanda.


Minta-minta kedai yang kami nak beli nanti ada jual warna tu. Atau minta-minta jumpa kat kedai yang laaaaagi murah. Moga Allah permudahkan. Amin.



Pic credit to MrGoogle




Friday, 16 October 2015

093 Nak Cari Kipas dan Lampu

Assalammualaikum.

Lagi sebulan lebih jer nak mula cuti sekolah. Alahai, tak sabarnya. Dalam otak geliga ni macam macam dah terfikir nak buat. Tak larat nak berangan dah. Last last rasa macam dah jemu fikir. Insha Allah, cuti nanti kami akan buat apa yang termampu. Mungkin akan masukkan TNB dan air. Lepas tu beli lampu dan kipas. Bila dah ada lampu dan kipas ni rasa lega sikit. Kalau nak buat kerja apa apa kat dalam rumah tu, tak lah lencun baju. Mandi peluh punya pasal. Boleh cari wireman untuk buat wiring. Boleh lar bawa mak ayah lepak sambil menyicah garam belacan. Boleh letak tv sambil buat kerja. Paling koman pun boleh lar cas telefon. Tak lar lari lintang pukang cari power bank bila telefon dan nyawa nyawa ikan! Auw!


Nak beli lampu ni kena buat draf dulu. Takut nanti ada masalah kalau main terjah jer. Tapi selagi tak beli selagi tu lar fikiran berubah-ubah. Punya lar tak istiqamah. Punya lar tak tetap pendirian. Macam lalang ditiup taufan. Nak masuk draf yang ketiga!


Dalam perancangan, aku nak pakai kipas KDK jer. Senang. Tak payah pening-pening pusing cari kedai sebab Sungai Petani ada dealer KDK. Of course lar dealer dapat harga kaw kaw murah! Cuma aku ni jenis susah nak buat pilihan. Kipas 3 bilah atau 5 bilah? Kipas dengan remote atau regulator. Aku pening!



Lampu pula aku ambil jer mana yang berkenan di hati. Tak payah nak philips sangat. Cuma aku keliru ayam sikit nak ambil pattern petak yang dah attach sekali mentol atau ambil pattern yang ada casing tu. Tengah fikir pro dan kontra. Kalau ikut hati, nak ambil yang petak. Tapi bila fikir susah nak tukar kalau rosak, terus hati jadi tingtong! Ambil yang ada casing pun ok. Lagi murah, lagi senang nak tukar mentol kalau rosak. Sekali lagi aku pening!


Untuk ruang tamu dan ruang makan mungkin aku pilih yang empat bilah. Kalau ikut hati aku nak yang tiga bilah guna remote tu sebab motor dia lebih kuat dan laju. Suami aku ni, dah on speed 5 pun dia boleh cakap tak sejuk lagi. Tapi sebab orang asyik cakap zaman sekarang dah tak pakai kipas tiga bilah, so aku redha jerla. Mungkin akan pertimbangkan untuk ambil yang lima bilah kalau harga lebih kurang jer. Ikut peredaran zaman. Hehehe.



Untuk bilik utama aku pilih yang ni. Tiga bilah dengan remote. Tapi masih belum muktamad. Sebab terfikirkan suami aku yang akan jadi macam cacing kalau kipas tak laju. (Melainkan dia boleh sponsor aircond hehe). Kalau tak, aku pilih tiga bilah denga regulator. Back to basic.




Untuk bilik-bilik yang lain aku nak letak yang bilah biasa jer. Sejukkkkk. Cuma tak buat keputusan lagi nak ambil yang putih atau dark borwn. Rasanya macam putih sebab nak sesuaikan dengan tema.


Oh tak sabar! Tak sabar nak mabuk cari kipas dan lampu. Ni baru kipas. Lampu tak pilih lagi. Aduuuuuuss. Cepat lar cuti. Nak siapkan cepat-cepat. Senang boleh move to the next steps. Too many steps are waiting, am nervous! Thanks Allah for helping. 




Tuesday, 6 October 2015

092 Tak Nak Kena Penalti?

Sejak dah ambil kunci dan memiliki rumah sendiri ni, rasa macam dah bijak sikit bab-bab beli rumah. Pengalaman dah lebih orang kata. Alhamdulillah, akan dijadikan pengajaran.

Late payment penalty.

Apa benda ni? Mesti ada yang tanya macam ini, bukan? Sebab aku dulu pun macam tu juga. Tertanya-tanya, yang pasti aku tahu benda ni bahaya dan ada azab! Teruk aku google siang malam cari maklumat dan baca pengalaman orang. Waktu tu baru dua tiga bulan loan lulus. Memang gabra tahap cipan. Tak tau la betul ker cipan pandai gabra.

Bila dah banyak sangat menggoogle, aku rasa macam aku dah jelas dan faham sangat-sangat. Dan tindakan aku, aku suruh suami aku tanya kawan dia yang kerja di Ambangan tu. Bla bla bla kawan dia terangkan, dan aku macam rasa selamat. Tak tau sebab aku rasa selamat. Mungkin sebab aku ingat penalty ni hanya akan dikenakan pada last progress rumah. Dan memang betul, aku masih jahil!! Boooo!

Soalan : Apa sebenarnya 'late payment penalty' ni?
Jawapan : Denda lewat bayar setiap progress payment rumah. 

Maksudnya, setiap kali pemaju hantar surat tentang progress payment rumah yang perlu dibayar, kau mesti alert dengan sebarang mak nenek tarikh yang tercacat pada surat tu. Paling penting alert DUE DATE yang tercatat. 

Soalan : DUE DATE untuk apa tu?
Jawapan : Itu adalah tarikh terakhir pembayaran perlu dibuat kepada pemaju.

Maksudnya, kau perlu pastikan pembayaran progress rumah kepada pemaju dibuat sebelum tarikh tersebut. Sebab proses pembayaran ni ambil masa. Melibatkan tiga party : pemaju, bank/bpp, dan lawyer. Semuanya mainkan peranan masing-masing. Bukan sehari jer terus settle. 

Soalan : Jadi, apa yang perlu dibuat?
Jawapan : Dapat jer surat progress payment terus tengok due date. Kebiasaanya pemaju akan bagi tempoh dua hingga tiga minggu untuk selesaikan bayaran tersebut. Kadang-kadang pemaju sengaja melengah-lengah masa. Jangan terkejut kalau tengok surat tu bertarikh seminggu yang lalu. Bermakna, surat tu sampai ke tangan kita selepas seminggu. Itu taktik. Dengan ini, kita cuma ada lebih kurang dua minggu untuk settlekan pembayaran. 

Jadi, mulalah bertindak. Sentiasa hubungi bpp/bank dan juga lawyer. Lawyer yang dilantik pemaju ni kadang-kadang berat sebelah. Peram surat tu lama-lama. Nak buat pekasam kot! Taktik win sangat! Sentiasa update proses pembayaran dari semasa ke semasa. Lepas tu kita boleh detect, siapa yang selalu lengah-lengahkan proses ni. Trust me!

Soalan : Apakah steps yang perlu dilakukan?
Jawapan : Dapatkan maklumat mengikut steps ni;

Pemaju ---- lawyer ---- bpp/bank ---- lawyer ---- pemaju ---- DONE! Boleh ambil kunci.

Soalan : Apa yang terjadi kalau bayaran tidak dapat diselesaikan sebelum due date?
Jawapan : Apa lagi! Sediakan duit berkepuk-kepuk, letak bawah bantal hehe. 

Bayaran penalti dikenakan mengikut bilangan hari lewat. Kalau rumah saya, sehari RM75. Kalau lewat 10 hari dah RM750. Tak sakit hati kah? Sakit juga kalau keluarkan duit atas kesalahan orang lain. Sakit hati jiwa raga frust tertonggeng. Tambah-tambah nak masuk rumah baru ni perlu keluarkan banyak duit untuk benda-benda lain lagi. Jadi, tolonglah alert kalau tak nak merana di kemudian hari.

Soalan : Apakah kesan kalau dikenakan penalti?
Jawapan : Selagi tak bayar jangan mimpi yer nak dapat kunci. Teropong dari luar jerla. Tapi ingat! Potongan gaji berjalan macam biasa sejak tarikh ambil kunci diumumkan. Takda chance nak tunggu kau ambil kunci dulu. Rugi, kan?

Soalan : Ada pesanan lain?
Jawapan : Ya. Simpan setiap surat yang diterima. Jangan tanggalkan surat daripada sampul sebab dekat sampul tu pun ada tarikh yang dicop oleh pos malaysia. Penting tu. Ingat, apa jer tarikh yang ada sangat penting sebab setiap tarikh tu adalah duit! Kalau boleh, catatkan juga setiap tindakan yang kita dah ambil. Macam tarikh kau hubungi bank, respon dari bank, tarikh hubungi lawyer dan responnya.. etc.


***
Saya hanya menulis atas pengalaman sendiri yang baru jer ambil kunci rumah. Alhamdulillah, kami tak kena apa-apa penalti. Syukur syukur syukur. Jika ada salah dan silap, harap dimaafkan. Saya taknak ramai pembeli rumah yang kurang berkemampu macam kami dikenakan penalti atas kesalahan orang lain. Almaklumlah, duit nak masuk rumah pun boleh rabak poket apatah lagi nak bayar penalti. Harap-harap post ni dapat membantu.

Saturday, 26 September 2015

090 # Selesai Bab Defects

...
Keterujaan dapat kunci boleh terbantut bila sampai masa nak check defects. Kalau rumah tu tak ada defects mungkin keterujaan tu boleh bersambung, tak perlu terbantut. Tapi kalau dapat rumah yang banyak defects macam rumah aku terus rasa potong nikmat. Jemmmm !!
Kami laki bini memang sengaja pilih cuti sekolah untuk ambil kunci. Sebab developer hanya bagi 14hari untuk pulangkan balik borang defects. Bagi orang yang jauh macam kami ni, kena plan betulbetul. Tak kuasa nak berulang naik feri turun feri, naik kereta turun kereta, naik teksi turun teksi banyak kali. Tak kuasa!
Ok.
Kalau nak check defects, benda benda seperti di bawah ni WAJIB di bawa. 
  1. Marker pen
  2. Masking tape
  3. Striking stikers
  4. Kayu yang panjang
  5. Tangga
  6. Torchlight
  7. Pen dan kertas
  8. Kamera
  9. Nasi lemak dan air mineral (nak letak juga)
tips : 
- masking tape tu sediakan banyak sikit kalau taknak berulang pergi kedai banyak kali
- kamera cas bagi penuh siap siap
- bawa teropong kalau agak agak tak dapat naik atas bumbung.. ala sekali sekali teropong rumah sendiri


Aku nak share steps yang aku buat waktu check defects hari tu. Tak lar gempak macam Conan. Naya. Aku buat dengan rileks dan slumber kerbau jer.

Hari pertama.
Sampai sampai jer aku terus tarik masking tape dan pegang marker pen. Suami aku lagi rileks. Sampai jer terus duduk makan nasi lemak dulu. Aku kalut sebab takut tak sempat. Hari first ni aku main belek belek tenung tenung dulu. Nampak jer cacat cela kotoran degil, aku terus mark. Dalam 30minit lepas tu jiran sebelah sampai. Siap hon bagai sebab depa tau aku nak datang. Aku pun tau depa nak datang tengok rumah juga. So, ada lar jugak yang jiran aku tolong tengokkan. Mula mula kami laki bini tak perasan retak. Almaklumlah baru nak warming up hehe. Bila nampak retak banyaaaak sangat rasa macam nak retak jantung. Alahai.

Siling ada kesan air.

Cincai jer diorang simen beam tu. 


Longkang pun retak


Check sekejap kak ipar ajak pergi Gunung Jerai pulak. Kan dah kata. Kami check defects dengan rileks dan slumber.


Hari kedua.
Hari ni kalau boleh nak buat last check jer. Kami mula mengeluarkan semua alatan yang ara. Kamera, batang kayu, tangga. Semua muncul dengan tiba tiba. Batang kayu tu ambil di kampung abamg ipar. Kayu api diorang susun cun punya. Suami aku minta izin nak ambil satu. Tangga cilok rumah pak mertua. Bayangkan tangga panjang tu aku sumbat masuk myvi mak aku. Nah!

Anak buah datang tolong sambil main lari-lari T_____T Aku tengah mark retak di luar rumah. Huish. Sakitnya ku di situ.




Apa yang kami buat?
  1. Batang kayu panjang tu suami aku guna untuk ketuk tile. Semua tile yang ada dia ketuk. Tak kira lar tile di lantai atau yang melekat di dinding. TIPS : cara ketukan mesti sama. Sebab ketukan menghasilkan bunyi lain lain. Dah kalau bunyo lain lain macam mana nak detect tile tu kosong atau tak.
  2. Itu tigas suami. Aku pulak tukang tempek stiker. Aku bawak stiker ni dari rumah jer. Ala mana yang ada jer. Tak payah bazir. Aku pilih striking orange. Clean and clear nampak dari jauh. Aku akan tempek di tile yang kosong.
  3. Bila abang ipar datang, dia tolong check siling dan bumbung. Dia askar so terer sikit bab ni. Kami tau nganga jer. Alhamdulillah ada dia. Datang jer dia macam macam defects muncul. Bumbung tak rapat, atap serpih, palung air senget, lubang air tersumbat. Atas bumbung bocor sampai kena siling dapur. Waktu ni teropong dan kamera sangat penting. Kami takda teropong so suami zoom guna kamera dia jer. Hahaha.
  4. Check kerapatan setiap tingkap dan pintu. Pergh. Banyak tingkap yang tak rapat. Kalau kentut kepit pun jiran boleh dengar. Apatah lagi kalau kentut tak kepit. Semua tingkap tu aku tanda dengan stiker striking colour tu jugak.
Tile kosong aku tanda dengan sticker oren.




Tingkap yang ada renggang pun aku tanda dengan sticker oren jugak.


Bila dah puas hati, baru kami balik. Sebenarnya check defects tu 2-3 jam jer. Dalam pukul 11 abg ipar datang ajak balik kampung dia di Sik. Kan dah kata, rileks jer haha.

Hari ketiga.
Hari ni dah nak balik Perlis. Kalau dah memang perangai buat kerja last minit, pagi tu baru kalut naik isi borang dan taip balik tentang defects. Ruang untuk defects dalam borang yang developer bagi tu sikit sangat. Tak cukup beb untuk rumah yang dihiasi dengan defects sebanyak 364817 juta tu. (angka tu cuma hiperbola). Aku masukkan kan gambar. Sebab ada sesetengah defect tu aku tak tau macam mana nak explain. Complicated cant solve. Malas fikir dalam erti kata lain hehe.

Alhamdulillah. Selamat hantar defects list. Yahooo. Tunggu lar sebulan lagi datamg tengok balik apa dah jadi.


TIPS
  • Check ruang antara celah celah lantai. Banyak lubang. Takut semut buat istana kaca dalam tanah pulak.
  • Ketuk tile satu satu. Kalau bunyi macam perut masuk angin tu maksudnya tile kosong.
  • Minta pemaju cuci tandas. Kalau tak bernasib baik dapat 'free gift' masyuk punya dalam lubang jamban. Buat baja tanam rumput karpet.
  • Retak kena tenung betul betul. Bawak torchlight yang lampunya warna oren. Sebab dinding putih memang susah detect crack. Jenuh tenung sampai nak juling.
  • Buka paip air satu satu..biarkan air mengalir. Check saluran paip jika ada bocor. Lepas tu check juga aliran air di dalam toilet. Takut ada kawasan lantai yang menakung air.
  • Check suis. Bawak tester. Pastikan setiap suis boleh digunakan.
  • Check siling jika ada lubang atau retak. Hodoh lar kalau nampak retak ni. Sakit mata.

Sepanjang masa check defect, aku bukakan surah Al-Baqarah, biar berkumandang sentiasa dalam rumah. Rasa tenang jer. Insha Allah.



Waktu nak balik tu, tiba-tiba hujan pulak. Pergh, sejuk sangat. Nyaman aman damai. Depan ni rumah jiran aku. Tak pernah lagi jumpa jiran depan dan belakang dan kiri. Jumpa yang kanan jer.

Alhamdulillah, selesai juga check defects. Borang hantar kepada pemaju. Pemaju kata lagi sebulan akan siap. Kita tunggu lar macam mana. Nanti dah siap diorang akan telefon aku. Bagi aku, lambat tak apa, asalkan buat cantik dan kemas. No cincai boncai ala hantu toncet! Lagipun lambat lagi aku nak duduk situ.

Adioss!

Friday, 18 September 2015

089 # Kunci

Assalammualaikum.

Cuti sekolah dah bermula! Dan hari ni aku dapat kegembiraan berganda. Gembira dan happy sangat sebab adik aku dah balik. Lengkaplah keluarga kami. Boleh riuh rendah macam dulu dulu. Kalau tak, sunyi jer rumah mak ayah. Mungkin perlukan baby untuk bagi bising sikit. Insha Allah.


Kegembiraan kedua, kami dah ambil kunci rumah tadi! Syukur. Hampir dua tahun tergedik gedik berangan nak pegang kunci rumah sendiri. Hari ni, dapat juga pegang peluk cium. Siap timbang lambung tinggi tinggi, sampai cucur atap. Apa dalam baju, sekuntum bunga sena. Erk. Mengarut.


Nak cerita sikit pengalaman ambil kunci rumah. Mula-mula kami hubby and wifey ni (uwek nak muntah) pergi ke bahagian kredit dulu. Sebelum ambil kunci kena lar setelkan hutang piutang dulu. Jangan harap lar nak dapat free of charge. At least api air tu kena jugak bayar. So tadi kami settle kan cukai tanah untuk tahun 2014 dan deposit sada (air). Pong pang pong pang, hulurlah RM215. Dah puas hati intebiu apa yang patut termasuk tanya tentang loan, kami terkedek kedek pergi tuntut free gift.



Free gift tu dapat lar seketul TV LED 40 inci. Syukur. Nanti bila dah ready baru nak pergi tuntut. Hari ni kereta dah tak ada ruang. Yang ada hanyalah ruang ruang udara. Lain kalilah. Tu pun ada hati suami aku request nak dua. Hohoi. 



Bila dah settle bab free gift, kami gerak ke pejabat custumer service. Dekat sana lar kami ambil kunci. Banyak sangat gugusan kunci. Naik pitam nak mengingat. Tapi belum pitam lagi. Bila tenhok lunco terus rasa nak tampar pipi sampai lebam. Macam tak percaya. Macam baru jer semalam kami booking. Cepatnya masa berlalu....


Last step.
Pemaju suruh tunggu di rumah. Wakil dari pemaju akan follow kitorang untuk check lighting point, paip. Dan ajar macam mana nak check defect. Tak buat lagi dah nampak macam nak tidur jer. Malas pulak rasa nak buat benda alah ni. Tapi nak buat macam mana. Rumah sendiri. Kepuasan sendiri. Nanti aku akan share cara aku check defect. Dah nampak rentak. Cuma nak buh lagu jer biar rock sikit. (Apa benda aku taip ni!!)





Saturday, 22 August 2015

088 # Tetapkan Tema Rumah

Assalammualaikum.


Hari ni aku nak share beberapa tema hot untuk deco rumah. Pendapat aku lar kan, tema perlu ditetapkan sebelum kau dapat kunci lagi. Nanti dah dapat kunci, senang nak terus gerak. Tak payah pening pening nak cari tema. Sebab rumah ni kalau betul betul nak ikut tema, grill pun boleh mainkan peranan. Grill pun ada patern, ada karakter sendiri. Kalau tema kau moden, kau lupakanlah grill kerawang pusing 44 kali, walaupun kerawang tu memang cantik sangat!


Rupa rupanya tak senang jugak nak decide tema untuk rumah sendiri. Macam aku, dari dulu dah ada tema yang berkenan di hati. Tiba tiba bila nampak rumah yang cun meletops, terus rasa nak tukar tema pulak. Bila nampak perabot menggoyah iman, terus rasa nak ambil tema yang sesuai dengan perabot tu pulak. Mak aih, lemah betul jiwa ni. 



Di sini aku share sikit tema yang boleh korang pilih. Moga dapat menolong korang tambah-tambah yang nak masuk rumah baru tak lama lagi.


PERTAMA : SCANDINAVIAN






KEDUA : ENGLISH VINTAGE





KETIGA : MODEN KLASIK





KEEMPAT : MODEN MINIMALIS





KELIMA : PALLET STYLE





KEENAM : PASTEL EVERYWHERE (aku namakan sendiri)





Rasa-rasanya yang mana satu tema yang aku nak pilih yer. Rasa macam semua cantik. OMG!
Rambang mata, taku nanti jadi cacamarba macam pakaian penari dangdut!

Bismillah.
ps : Semua gambar kredit to Google

Sunday, 9 August 2015

087 # Checklist Defect!

Assalammualaikum.


Aku tengah tunggu due nak beranak ni. Ok berangan! Sebenarnya aku menunggu pemaju kol untuk ambil kunci. Memang macam tunggu hari nak beranak. Macam aku pernah beranak jer cara cakap. Insha Allah. Suatu hari nanti.


Aku nak kongsi checklist untuk check defect agar tak terlepas pandang. Yerla, banyak nak kena check. Kadang-kadang teringat, kadang-kadang terlupa. Baik dicatat. Almaklumlah, dah nak masuk generasi berumur hehe.
****

DALAM RUMAH
Lantai
- kemampatan simen / ruang celah tile / keretakan / kejituan pemotongan

Dinding
- retak, plaster simen / cat / lubang

Tingkap dan pintu
- selak / engsel / cermin / keretakan / cat untuk pintu / jarak antara pintu dan lantai

Suis
- check pengaliran elektrik / buka semua suis

Paip
- kebocoran paip / pili / sinki / tangki/ pengaliran air laju atau lambat / bilangan  pili / mendapan

Siling
- kebocoran / keretakan



LUAR RUMAH
Porch
- tile / lampu pagar / tempat sampah serta selak / kotak elektrik / peti surat

Longkang
- aliran air / keretakan / mendapan / cuba alirkan air

Pagar
- cat / kemek / lock / engsel

Tangki najis
- penutup tangki

Dinding luar
-cat / retak

Jalan
- lopak

***

Setakat pukul 4.12pm ni, aku rasa itu jer yang perlu diberi perhatian. Nanti kalau ada lagi nak tambah aku akan update. Biasalah, sekejap datang sekejap pergi. Mana boleh nak paksa jugak, kan?


SELAMAT BER-EKSITED NAK MASUK RUMAH BARU !

Wednesday, 29 July 2015

086 # Surat Dari Pemaju

Assalammualaikum.



Khamis lepas, tiba tiba melayang surat dari pemaju sampai ayah dan mak di kampung. (Pergh, siap melayang tu kahkahkah). Ayah kata surat kali ni tak macam selalu, spesel sikit sebab posmen minta autograf. Pelik, aku pun suruh ayah buka dan baca. Jenuh orang tua aku dok bersilat dengan bahasa omputih dia merepek tu. nasib baik ada juga bahasa melayu. 



Rupa rupanya nak suruh ambil kunci. Terus eksited terkejut habaq hang. TAPI, kami kena pastikan pihak bank dah bayar sepenuhnya kepada pemaju. Baru boleh ambil kunci kalau dah settle bayaran. Apa punya proses lar. Baik hantar surat ni kepada bank. Terus menjunam rasa eksited. Haru!




En Suami ada kontek pihak pemaju. Pihak pemaju cakap, kami kena pastikan bank dah bayar semuanya dalam masa 21 hari dari tarikh surat baru kami boleh ambil kunci. Surat bertarikh 14 Julai. Dapat surat 23 Julai. RUGI LAPAN HARI, beb! Apa kejadah lar. Lepas tu, suami aku kontek bank pulak. BANK PULAK BLUR. Aku rasa nak hantuk kepala. Bank seolah olah tak tahu apa-apa. Boleh pulak bank tanya surat apa yang kami dapat. Lepas tu, bank suruh kami kontek laywer. Kontek lawyer asyik line busy jer. Apa busy sangat lar lawyer kami ni. Loyar buruk betul. Serabut juga fikir benda ni. Bukan apa, kalau bank lewat bayar, mungkin kami akan kena penalty bila nak ambil kunci nanti. Sayang duit aku simpan penat penat. Baik guna belanja mak ayah pergi umrah dari bagi free tak boleh belah macam tu jer.


Risau sangat, mula nak serabut.
Moga Allah permudahkan.
Insha Allah.
Amin.


Monday, 20 July 2015

085 # Salam Aidilftri

Assalammualaikum.



Raya sekarang dah tak macam raya dulu-dulu. Aku rindu sangat nak jadi kanak-kanak balik. Mak dan ayah masih kuat. Semua adik beradik ada di rumah. Tahun ni giliran abang aku balik ke rumah mertua di Pahang. Dan raya kami tidak lengkap macam dulu. Tidak lagi macam dulu. Aku sangat terasa, mungkin mak dan ayah lebih lagi.



Raya kedua aku dah balik ke Sungai Petani, kampung suami. Tahun ni, kami pakat adik beradik untuk masak mee kari buat jamu tetamu. Rumah kami jarang diziarah. Kalau ada pun setakat dua keluarga jer. Lepas tu sunyi. Dan acara menonton tv rancangan raya pun bermula. Tapi tahun ni tv raya tak berapa meriah. Adik aku dengan RunningMan, suami aku dengan cerita omputih. Tak rasa pun raya macam dulu dulu. Dulu-dulu dok tunggu jer cerita raya. 



Apa apa pun, aku tulis sekdar coretan. Moga bila rindu, aku dapat baca balik kenangan yang aku pahatkan dalam blog ni. Walaupun raya aku dah tak macam dulu, aku bersyukur sebab masih dapat menyambut hari raya, tak seperti orang yang kurang berkemampuan. Raya aku simple dan bajet. Baju raya tak sampai RM50. Baju suami pun sama. Untuk baju di rumah mertua, aku recycle baju raya tahun lepas jer. Cuma aku tambahkan lace merah untuk nampak lebih 'baru'. Ala-ala memberi nafas baru lar juga. Dan aku padankan dengan aidijuma RM9. Wakaka.



Tahun ni aku mula sediakan duit raya untuk anak buah dan budak budak lain. Tahun lepas belum datang semangat nak jadi orang tua bagi duit raya. Tahun ni aku mengalah dengan budak budak. Aku kasi can depa pulak minta duit raya kat aku.





Aku harap dan berharap, tahun depan kami dapat bersatu macam selalu. Insha Allah.